KUMPUL DOSA TANPA SEDAR !!!


Setiap mukmin hendaklah berhati-hati dalam melakukan sesuatu agar tidak terjerumus ke lembah dosa dan kemurkaan Allah. Dosa mengakibatkan hidup kita tiada keberkatan, rezeki disempitkan, jiwa kelu kesah dan yang lebih menakutkan akan diazab di dalam kubur dan dihumban ke dalam neraka di akhirat.

Amalan yang menyebabkan kita mendapat dosa hendaklah dihindari sama sekali. Bila terlanjur melakukannya cepat-cepatlah bertaubat kepada Allah. Jangan dibiarkan dosa begitu sahaja kerana ia akan menyebabkan iman menjadi lemah dan memudahkan syaitan untuk menguasai diri kita untuk melakukan dosa yang lebih besar.

Antara perkara yang perlu diambil perhatian ialah jangan melakukan perkara yang menyebabkan dosa berkembang biak dan mendapat dosa berlipat kali ganda. Macamana perkara ini boleh berlaku? Bila kita memaparkan sesuatu perkara yang mengundang dosa sama ada mempamerkan gambar mendedahkan aurat, video lucah, filem Barat, klip video yang mendedahkan aurat atau mempromosikan artis-artis dan seumpamanya.

Ancaman mengenai perkara ini telah disebutkan oleh Rasulullah saw yang bermaksud :

“Sesiapa yang memulakan satu sunnah yang baik di dalam Islam dia akan memperolehi ganjarannya dan ganjaran orang yang melakukannya selepasnya dengan tidak kurang sedikitpun ganjaran mereka. Dan sesiapa yang memulakan satu sunnah yang buruk di dalam Islam dia akan menanggung dosanya dan dosa orang yang melakukannya selepasnya dengan tidak kurang sedikitpun dosa-dosa mereka. ( Imam Muslim )

Sebagaimana seseorang yang menunjukkan jalan ke arah kebaikan akan mendapat pahala, orang yang menunjukkan ke jalan kejahatan juga akan mendapat dosa tidak kurang sedikitpun.

Sekiranya anda seorang yang amat meminati filem, lagu atau artis pujaan anda, janganlah disebarkan kepada orang lain kerana itu juga termasuk mempromosikannya. Memadailah anda seorang diri sahaja yang menanggung dosanya. Sememangnya tidak dapat dinafikan kita tidak dapat lari dari dosa bila menonton filem sama ada filem tempatan atau filem barat kerana pemaparan aksi pendedahan aurat, pergaulan bebas, penggunaan bahasa kesat dan perkara-perkara yang diharamkan oleh agama.

Kita dapati remaja kita pada hari ini tenggelam dengan hiburan yang melalaikan termasuk memuja artis-artis sama ada artis tempatan atau artis Hollywood, Bollywood, Jepun, Korea dan sebagainya. Pendamkanlah minat anda itu, tidak perlu anda memaklumkan kepada orang lain kerana ia menyerlahkan keaiban dan membuatkan orang lain hilang rasa hormat kepada anda. Lebih parah sekiranya orang lain juga meminati mereka disebabkan promosi anda. Maka anda juga akan mendapat saham dosa tersebut dan tidak kurang sedikitpun dosa tersebut. 

Bayangkan sekiranya berpuluh, beratus atau beribu orang yang menjejaki langkah anda, alangkah banyaknya koleksi dosa yang telah anda lakukan. Pada masa kini promosi seperti ini amat mudah seperti yang dilakukan di laman sosial Facebook, blo-blog peribadi, forum-forum dan sebagainya. Satu dunia boleh membaca promosi dosa anda tersebut .

Allah melarang kita mendedahkan aib orang lain, apakah patut kita mendedahkan aib kita sendiri? Jangan hebohkan dosa yang anda lakukan kerana Allah menutupinya, mudah-mudahan anda bertaubat satu masa nanti. Bila anda dedahkan dosa anda dibimbangi tidak berpeluang untuk mendapat keampunan dari Allah SWT sebagaimana sabda Rasulullah saw:

Setiap umatku akan mendapat kemaafan kecuali orang yang menzahirkan kemaksiatannya, termasuk menampakkan kemaksiatan ialah seseorang berbuat maksiat pada waktu malamnya lalu pada waktu paginya padahal Allah telah menutupi kemaksiatannya, namun dia mengatakan: Wahai fulan tadi malam aku telah berbuat ini dan ini, kemaksiatannya telah ditutupi oleh Allah lalu pada waktu pagi dia menyingkap apa yang telah disembunyikan oleh Allah”. (Imam Bukhari)

Dalam hadis yang lain Baginda saw bersabda :

Ertinya : "Jauhilah perkara-perkara keji (maksiat) yang telah dilarang oleh Allah, sesiapa yang telah melakukannya, hendaklah dia menyembunyikannya dengan tutupan (yang diberikan) Allah dan bertaubat kepada Allah SWT. Jika sesiapa menampakkan perkara keji (yang dilakukannya) kepada kami, kami akan menjatuhkan hukuman yang telah diperintahkan oleh Allah ‘Azza wa Jalla."( al-Hakim)

Mudah-mudahan dengan tidak mendedahkan dosa anda kepada orang lain, anda akan mendapat keampunan dari Allah SWT. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui kelemahan iman kita dan sukar untuk mengelak dosa. Namun Dia Maha Pengampun dan Penerima Taubat hambaNya. Sabda Rasulullah saw :

Ertinya : Nabi bersabda : (Di akhirat kelak) Allah akan menghampiri seorang hambanya yang mukmin lalu melindunginya lalu berkata : Adakah kamu tahu dosa kamu ini? Adakah kamu sedar dosa ini? Lalu jawab lelaki itu Ya Wahai Tuhan dan sehingga dia mengakui dosanya dan merasakan dia akan binasa (dihukum), Allah berkata : Aku telah menutupinya di dunia dahulu ( dari pengetahuan manusia), dan hari ini aku akan mengampunkannya ( Riwayat Al-Bukhari) 

Dalam hadis ini Allah menutup dosanya di dunia. Ini bermakna hamba tersebut tidak mendedahkan keaiban dirinya kepada orang lain, maka dia mendapat kelebihan itu. Namun bagi mereka yang telah menyebarkannya kepada satu dunia, berkongsi hobi, bercerita dengan bangga,mempromosi dan sebagainya semasa hidup di dunia, adakah layak mendapat rahmat Allah tersebut? Wallahu Ta’ala A’lam ( Allah Yang Lebih Mengetahui)

Sekiranya anda melakukan perkara mungkar tersebut disebabkan tidak mengetahui akibatnya sebelum ini, maka hentikanlah dari meneruskannya dan bertaubatlah kepada Allah SWT. Masih belum terlambat. Padamkan semua perkara mungkar tersebut dan ubahkan kepada promosi perkara yang boleh mendapat saham pahala seperti maksud firman Allah, sabdaan hadis Nabi saw ( yang sahih), kata-kata nasihat atau apa sahaja ilmu bermanfaat yang boleh dikongsi oleh orang lain untuk kebaikan dunia atau akhirat. Semoga Allah merahmati kita semua.

Wallahualam...

No comments:

Post a Comment