Soalan: Hukum merawat orang bukan islam dengan ayat al-quran

Hukumnya harus merawat pesakit atas usaha pengubatan yang menggunakan ayat-ayat al-quran jika ianya memberi manfaat kesembuhan. Dalilnya adalah, para sahabat pernah membacakan ayat Al-quran kepada seorang ketua badawi yang sakit, lalu sembuh, dan disetujui oleh Rasulullah cara tersebut. Rasulullah tidak kata bid'ah walaupun baginda tidak pernah ajar.

Jom kita cek hadis Nabi mengenai hal ni.....

Daripada Abu Sa’id Al-Khudri r.a.; Bahawa beberapa orang di kalangan sahabat Rasulullah s.a.w. sedang berada dalam perjalanan melalui salah satu dari perkampungan Arab. Mereka berharap dapat menjadi tetamu penduduk kampung tersebut. Namun ternyata penduduk kampung itu tidak mahu menerima mereka sebagai tetamu. Namun begitu ada yang bertanyakan kepada mereka; ”Adakah di antara kalian yang boleh menjampi? Kerana ketua kampung kami terkena sengatan binatang. Salah seorang daripada para sahabat itu menjawab: Ya, ada. Sahabat tersebut kemudiannya melawat ketua kampung yang sedang sakit itu dan menjampinya dengan Surah Al-Fatihah. Ternyata ketua kampung itu sembuh, lalu diberikanlah kepadanya beberapa ekor kambing. Sahabat itu menolak untuk menerimanya dan berkata: Aku akan bertanyakan dahulu kepada kepada Nabi s.a.w. Dia pun pulang menemui Nabi s.a.w. lalu menceritakan peristiwa tersebut kepada Rasullullah. Dia berkata: Ya Rasulullah! Demi Allah, aku hanya menjampi dengan Surah Al-Fatihah. Mendengar kata-kata itu lalu Rasulullah s.a.w. tersenyum dan bersabda: Tahukah engkau bahwa Al-Fatihah itu merupakan jampi? Kemudian baginda bersabda lagi: Ambillah pemberian dari mereka itu dan asingkan sedikit untuk bahagianku. (Hadis Riwayat Imam Muslim dan terdapat juga dalam Hadis riwayat Imam Bukhari)

Tidak menjadi kesalahan seseorang Islam mendoakan (ruqyah) ke atas orang bukan Islam yang masih hidup. Kita boleh mendoakan kesihatan mereka, lebih-lebih lagi mendoakan agar hati mereka terbuka kepada Islam. Menurut Syeikh Nuruddin Al-Banjare, apa yang dilarang sebenarnya ialah mendoakan ke atas orang bukan Islam yang sudah mati dan ketika sakaratul maut.

KES 1: Firman Allah swt :
مَا كَانَ لِلنَّبِيِّ وَالَّذِينَ آمَنُوا أَنْ يَسْتَغْفِرُوا لِلْمُشْرِكِينَ وَلَوْ كَانُوا أُولِي قُرْبَى مِنْ بَعْدِ مَا تَبَيَّنَ لَهُمْ أَنَّهُمْ أَصْحَابُ الْجَحِيمِ
"Tidaklah dibenarkan bagi Nabi dan orang-orang yang beriman, meminta ampun bagi orang-orang musyrik, sekalipun orang itu kaum kerabat sendiri, sesudah nyata bagi mereka bahawa orang-orang musyrik itu adalah ahli Neraka. " (Surah at-Taubah: 113)

Asbabun Nuzul ayat 113 surah at-Taubah ini ialah ketika Nabi melawat Abu Talib yang sedang sakaratul maut (dalam hadist riwayat Bukhari).

KES 2: Rasulullah SAW pernah memohon kepada Allah ta’ala agar salah seorang dari dua pembesar musyrikin kota Makkah memperoleh hidayah. Doanya diabadikan dalam hadits di bawah ini:
عَنْ ابْنِ عُمَرَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ اللَّهُمَّ أَعِزَّ الْإِسْلَامَ بِأَحَبِّ هَذَيْنِ الرَّجُلَيْنِ إِلَيْكَ بِأَبِي جَهْلٍ أَوْ بِعُمَرَ بْنِ الْخَطَّابِ
Dari Ibnu Umar ra bahwa sesungguhnya Rasulullah berdoa: “Ya Allah, muliakanlah Islam dengan sebab kecintaan dua lelaki kepadaMu, iaitu dengan sebab ‘Amr bin Hisyam (Abu Jahl) atau dengan sebab ‘Umar bin Khattab.” (At-Tirmidzi 12/141)

Ketika itu Umar belum lagi memeluk islam.

No comments:

Post a Comment